Ayat-ayat yang berkait dengan perumpamaan ini terlalu banyak disebut oleh Allah Taala di dalam Al Quran. Di awal surah ini telah dijelaskan tentang dua perumpamaan ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dan telah dijadikan kegelapan dan cahaya". (Surah Al An'am:1). Sebahagian Para Sahabat R.A telah menghuraikan tafsiran berkenaan dua orang lelaki yang berbeza disebut oleh Allah dalam ayat ini iaitu-lah seorang lelaki yang hidup manakala seorang lelaki yang lain mati.
Saidina Umar Al Khattab R.A berkata, "Perumpamaan orang yang hidup dan mendapat petunjuk ialah seperti mayat manusia (orang mati) kemudian dihidupkan Allah. Selepas itu Allah Taala telah menyinari perjalanan hidupnya dengan cahaya yang membolehkannya berjalan dengan betul di kalangan manusia". Dikatakan bahawa Amar bin Yasir dalam menafsirkan ayat ini berpendapat yang dimaksudkan dengan orang yang berada dalam kegelapan kesesatan sehingga dia tidak dapat keluar darinya ialah Abu Jahal, Amr bin Hisyam (laknat Allah ke atasnya).
Yang sahihnya ayat ini adalah umum, menyentuh siapa sahaja yang berada dalam petunjuk dan kesesatan, tentu kedua-dua keadaan itu mempunyai perbezaan yang jauh antara satu sama lain. Tidak ada kesamaan antara yang hak dan yang batil, petunjuk dan kesesatan, benar dan salah, Islam dan kufur buat selama-lamanya. Setiap orang yang beriman dan kafir membabitkan diri dalam dua keadaan ini dan sudah pasti ada dua perbezaan dalam kesudahan dan pembalasannya sama ada ke syurga atau ke neraka Allah di hari akhirat kelak.
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Yang demikian itulah kami hiaskan (rasa baik dan bagus) ke atas segala perbuatan orang kafir itu". (Surah Al An'am:122)
Yakni sebagaimana iman itu diperlihatkan bagus di hati dan perasaan orang-orang yang beriman maka demikianlah juga kesesatan, kufur, maksiat dan kejahilan itu diperlihatkan baik pada pandangan orang-orang kafir. Mereka merasa selesa dan bahagia (kononnya) dengan kesesatan itu pada hal ia telah memudaratkan kehidupan mereka di dunia ini sama ada mereka sedar atau tidak. Ini semua adalah satu pengajaran dan hikmah yang besar dari Allah untuk manusia seluruhnya agar mereka memilih jalan yang betul dan hidayah Islam sekaligus meninggalkan segala perkara yang bercanggah dengannya.
Tiada sekutu bagi Allah dalam semua perkara yang dilakukan oleh manusia. Ertinya sekiranya mereka men-yengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam kehidupannya sudah pasti ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. Justeru, pilihlah jalan petunjuk yang terkandung di dalam Al Quran dan jalan petunjuk yang dinyatakan oleh Nabi S.A.W, melalui hadis-hadisnya yang banyak. Manusia memerlukan petunjuk Allah walau sebijak mana sekalipun pemikiran dan akal yang ada pada mereka. Ini kerana manusia tetap lemah dan mempunyai kelemahannya yang banyak.
Dengan kelemahan yang ada pada manusia itu, mereka memerlukan petunjuk dari Tuhan Yang tidak ada sebarang kelemahan dalam segala hal dan tindak tanduk-Nya sama ada pada sifat, nama dan perbuatan-Nya, dalam penciptaan-Nya dalam hukum hakam-Nya dan dalam kemutlakan pemerintahanNya.
Di dunia manusia diberi kuasa pemerintahan mentadbir bumi buat sementara waktu dan menggilir-gilirkannya di kalangan manusia sama ada di kalangan orang beriman dan kafir. Tetapi kekuasaan dan pemerintahan mutlak ialah di tangan Allah, tidak ada siapa boleh mencabarNya khususnya di hari kiamat kelak. Di hari itu tahulah siapa yang berada di pihak yang benar dan siapakah yang sesat, namun penyesalan pada hari itu tidak ada gunanya lagi. Allah telah jelaskan petunjuk di dunia ini melalui Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W untuk panduan manusia.
Justeru carilah sesuatu yang sempurna untuk mengaturkan kesempurnaan kehidupan bukan mencari yang kurang dan lemah untuk mengatur kehidupan manusia. Berdegil dalam mencari kesempurnaan ini, buruklah akibat balasan dan kesudahan kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Mereka perlu membuka dada untuk menerima petunjuk Allah kerana itulah caranya untuk menyelesaikan segala kemelut kehidupan manusia sehingga hari kiamat. - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
No comments:
Post a Comment