SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG KE LAMAN PERIBADI MOHD ZAHID ADANAN

Followers

Monday, June 23, 2014

PERGINYA SANG MURABBI


Tepat jam 8 pagi semalam (Ahad, 22 Jun 2014) saya menerima panggilan telefon daripada arwah Ustaz Abu Bakar Chik.

Dalam keadaan terdesak, beliau minta saya menguruskan pertemuannya dengan ayahanda saya di Shah Alam, "Khalil, ana nak ziarah ayah sekejap, boleh anta tolong uruskan?". Suaranya masih tergiang-giang di telinga saya sehingga ke saat ini.

Alhamdulillah, beliau sempat berjumpa dengan Tuan Guru Presiden.

Jam 5 pagi tadi, setelah bangkit dari tidur saya terus buka telefon bimbit saya dan mesej pertama yang saya baca ialah "Ustaz Abu Bakar Chik telah meninggal dunia kerana kemalangan dekat LPT Bukit Besi".

Saya terkedu kerana hanya baru beberapa jam lepas bersama-sama dengannya di dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi anjuran DPPN Selangor di Shah Alam.

Rasa macam tak percaya, dalam keadaan sedih dan hiba saya menahan emosi mengenangkan saat-saat terakhir bersama-sama dengan sang murabbi ini.

"Lama ke Ustaz jumpa dengan ayah?", saya bertanya.  "Alhamdulillah, ana puas hati, banyak topik yang kami berkongsi khususnya berkait dengan perkembangan Gerakan Islam peringkat antarabangsa", jawabnya.

Saya mengenali arwah sejak kecil lagi kerana persahabatannya dengan ayah sangat akrab. Memori yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau menjadi tetamu di rumah kami selama sebulan ketika Operasi Lalang dilaksanakan sekitar tahun 1985.

Hubungan kami sangat rapat kerana saya sentiasa menjadi temannya mendengar radio perkembangan semasa Operasi Lalang pada ketika itu. Saya boleh bayangkan perasaannya berjauhan dengan keluarga khususnya anak-anak kerana menjadi buruan pihak berkuasa.

Bagi saya jasa almarhum sangat besar khususnya ketika memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika sekiranya jasa Dato' Mustafa Ali di dalam pemuda memartabatkan institusi Kepimpinan Ulama di dalam PAS, tidak keterlaluan jika disebut di sini jasa almarhum Ustaz Abu Bakar Chik pula ialah memperteguhkan institusi itu di dalam PAS.

Jasanya di dalam memartabatkan institusi pendidikan di dalam PAS sangat besar. PASTI, Institut Berakan dan Maahad Tahwiz wa Tarbiyah adalah antara institusi pendidikan yang mendapat sentuhannya yang melahirkan kader-kader yang bergerak di dalam PAS di semua peringkat di seluruh pelusuk negara.

Beliau bukan sahaja seorang yang komited di dalam memartabatkan pendidikan di dalam PAS, dalam masa yang sama beliau juga adalah seorang yang tidak pernah jemu di dalam menuntut ilmu.

Saya sentiasa perhatikan jika sekiranya beliau berjumpa dengan Tuan Guru Presiden tanggannya tidak akan berhenti mencatat setiap apa yang dibincangkan. Ketika usianya yang sudah lanjut beliau masih sempat mengambil cuti dalam satu tempoh yang lama untuk mendalami Bahasa Arab di Sudan.

Jabatan Amal yang menjadi kebanggaan PAS pada hari ini ditubuhkan di zaman beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS. Satu institusi yang sangat berjasa dan memberikan kesan yang sangat besar kepada PAS khususnya di persada da'wah secara langsung  (الدعوة بالحال) di dalam negara.

Almarhum tidak pernah mengenal penat dan lelah di dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Bagi sesiapa yang rapat dengan beliau pasti akan mengakuinya. Beliau seorang yang sentiasa bersemangat jika membincangkan soal ummah.

Jika berbincang dengannya beliau tidak akan mengakhirinya melainkan dengan tindakan yang akan dilakukan. Komitmennya begitu tinggi, kalau nak ajak berbincang berkait dengan jamaah bila-bila masa beliau akan menyahutnya walaupun di larut malam.

Walaupun beliau sudah lama meninggalkan Dewan Pemuda PAS tetapi semangat juangnya sentiasa segar. Pantang dijemput untuk menghadiri program-program Dewan Pemuda PAS beliau tidak akan menghampakannya. Alhamdulillah, Allah mengakhirkan riwayat hidupnya selepas memberikan pengisiannya di dalam program pemuda. Hampir satu jam setengah beliau memberikan taujihaat kepada anak muda dengan penuh semangat.

Selepas program dengan arwah malam tadi saya sempat berbual dengan Ustaz Syarhan, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor dan menyarankan kepadanya supaya menjemput lagi Ustaz Abu Bakar Chik untuk program anak muda selepas ini. Namun, apakan daya ternyata Allah lebih sayang kepadanya.

Firman Allah di dalam Surah al-Fajr :

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !

Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia

Dan masuklah ke dalam SyurgaKu"


Al-Fatihah.

(25 Sya'ban1435/23Jun 2014)

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM

Kembalinya Pejuang Syaikhi wa Habibi al-Marhum Ust Dato Abu Bakar Chik



1. Al-Marhum merupakan seorang mujahid gerakan Islam, pendakwah dan pendidik yang gigih seawal usia muda. Al-Marhum terlibat sebagai pimpinan mahasiswa Islam semasa muda dan seterusnya kepimpinan gerakan Islam di peringkat Terengganu dan Nasional sehingga ke akhir usia. Al-Marhum mengepalai Dewan Pemuda PAS untuk tempoh yang panjang dan mencetak kader-kader dakwah di kalangan anak muda. Al-Marhum diuji dengan penjara sebagai tahanan ISA. Al-Marhum adalah mata rantai 5 tokoh gerakan Islam dari Terengganu yang mewarnai kepimpinan PAS di peringkat Nasional untuk tempoh yang panjang sejak muda sebaris dan sezaman dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi, Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib, Dato Mustafa Ali dan Dato Wan Mutalib Embong.

2. Antara jasa al-marhum yang sangat besar ialah mengasas dan menggerakkan Institut Berakan yang menjadi ikon pendidikan negeri Terengganu dan memberi peluang pendidikan dan tarbiyah kepada puluhan ribu remaja dan anak muda akhir 70 an sehingga pertengahan 90 an. Institut Berakan telah melahirkan kader dakwah dan petugas gerakan Islam yang sangat ramai dan menjadi pemimpin di pelbagai peringkat. Seterusnya jihad pendidikan beliau diteruskan dengan penubuhan rangkaian Sekolah Rendah Islam Pintar awal 90 an dan seterusnya Maahad Tahfiz wa Tarbiyah di Tok Jiring sejak 90 an sehingga sekarang. Terakhir beliau mengasaskan Intitut Itqanul Muluk yang mengkaji pelbagai dasar pengurusan dan pentadbiran negara.

Moga Allah merahmati Al-Marhum dan menempatkannya di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

 اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ


YB Ust Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
8 pg 23hb Jun 2014

ALMARHUM USTAZ ABU BAKAR CHIK: DIA MURABBI, PEMIMPIN, TEMAN YANG BAIK


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pagi yang indah ini , aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus , memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum bila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.

Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.

Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.

Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke 13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.

Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan  Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai,program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah,membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.

Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abj Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.

Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat,  bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang , menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.

Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya , Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90an, menggelarkannya secara diam "alfatihah",kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan , kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.